Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai
kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang
telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga
dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis
yang sohih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam lailatul qadar dan tidak
membiarkannya berlalu begitu saja. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis
muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang artinya :
Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul
qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu.
Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan
malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan
segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan
sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau
ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara
maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih
antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus
dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat
dan berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia
tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri
dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya
kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah
berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita
berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan
taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan
ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga
dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan
menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan
hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa.
Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan
malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam
lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar
yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas
dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.
Antara tanda-tanda dalam mengetahui
malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :
1. Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah
S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang artinya : Sesungguhnya
matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). - Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa -
2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa
baginda telah bersabda yang artinya : Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya
bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk
padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh,
dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya
cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar
bersamanya pada hari itu. - Hadis
riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit -
3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah
bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul qadar
bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada
angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan
tiada cahaya padanya(suram).
4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada
Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul Qadar
bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.
Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai
matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:
1)Ia merupakan
tanda penciptaan Allah SWT. 2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.
Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda lailatul qadar ialah :
a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak
sejuk dan tidak pula panas.
b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak
bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.
c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya
seolah-olah tidak timbul.
d.
Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram
Tidak ada komentar:
Posting Komentar